~Remaja @ Mutiara~

Tips di remaja @ mutiara

Bulan April 2009

 

Adakalanya kita sering tertanya-tanya bagaimana cara terbaik untuk berpakaian atau melakukan aktiviti seharian berdasarkan lunas-lunas islam yang di benarkan. malah sebagai remaja menjadi perkara biasa untuk mencuba sesuatu mengikut trend remaja terkini namun dalam masa yang sama mahu mengekalkan sifat kesopanan juga mahu terus bergaya dalam lunas-lunas islam yang dibenarkan. Tips dibawah mungkin boleh membantu anda semua. Jadi jom selak-selak! Ops ! Jom baca !

 

Trend hari ini remaja perempuan suka memakai t-shirt dua lapis iaitu lapisan tangan panjang di dalam dan baju tangan pendek di luar. Tidak salah berfesyen tetapi biarlah bersesuaian dengan norma-norma Islam. Pakaian dua lapis itu pastikan longgar dan melepasi paras pinggul. Gunakan seluar yang longgar. 

 

Bagi remaja lelaki, cara berpakaian juga perlu dilihat agar tidak keterlaluan hingga hilang nilai budaya Melayu dan Islam. Aurat lelaki walaupun di antara pusat hingga ke lutut namun memakai seluar pendek menampakkan paras peha tidak dibolehkan (haram).

 

Nabi s.a.w. suatu ketika telah melihat seorang lelaki yang terselak peha, lalu baginda menasihatinya, “Tutup pehamu kerana sesungguhnya peha itu adalah aurat.” (Riwayat Hakim)

 

·                      Adab berpakaian di dalam rumah

 

Baik lelaki atau perempuan, adab berpakaian dalam rumah sangat perlu diperhatikan. Ibu bapa juga tidak boleh berpakaian sewenang-wenangnya. Atas dasar ingin mendidik anak-anak, kita perlu berpakaian sopan walaupun di dalam rumah.

 

Malah anak-anak juga perlu dipesankan agar menjaga aurat walaupun bersendirian di tempat yang tersorok seperti di dalam bilik tidur atau bilik air, kerana ada malaikat yang sentiasa mengawasi kita dan Allah yang maha memerhati. Malaikat makhluk yang paling taat kepada Allah, sangat malu kepada orang yang mendedahkan aurat. 

 

·                     Cara berhias

 

Ajarkan anak remaja perempuan cara berhias yang betul, bukan ajar mereka cara mana nak pikat lelaki. Memadai mengenakan solekan yang tipis sesuai dengan usia. Baca doa sebelum berhias. Elakkan bermekap atau berwangi-wangian secara keterlaluan.

 

Memadai memakai sedikit pewangi berbau segar sekadar untuk mengelakkan bau busuk badan. Gincu yang terlalu terang atau pakaian berwarna pink boleh menggiurkan pandangan lelaki dan mudah mendorong ke arah rangsangan seksual. Orang lelaki suka melihat bibir mongel wanita ketika bercakap.

 

Oleh itu ingatkan mereka supaya berwaspada selalu, lebih-lebih lagi berdepan dengan anak-anak teruna yang baru baligh.  Kepada anak lelaki yang mula mencecah alam baligh (10-15 tahun) yang digelar amrad, jika telah tumbuh misai, galakkan mereka menyimpan misai nipis supaya terserlah sifat kelelakiannya. Tanpa misai mereka akan kelihatan ‘manis’ dan digilai oleh sesetengah lelaki atau wanita. Kegilaan itu mungkin cenderung kepada rangsangan seks. 

 

·                     Teman keluar rumah

 

Kenal pasti teman anak remaja kita ketika mereka hendak keluar rumah. Dan pesankan, sebelum keluar hendaklah baca doa, al-Fatihah dan ayat Kursi supaya langkah yang diatur dilindungi malaikat. Bagi ibu bapa yang bekerja, ambil sedikit maklumat tentang kawan-kawan anak supaya mudah dikenali perawakan diri mereka. Sesekali kita boleh hubungi keluarga mereka untuk membina silaturrahim di samping bertukar pandangan berkaitan perkembangan anak-anak.

 

·                     Cara jalan dan percakapan

 

Ajarkan anak remaja perempuan cara bercakap ketika berhadapan dengan lelaki yang bukan muhram. Suara biar tegas, tidak lunak manja hingga membuat lelaki tergoda. Memang pada usia remaja, anak perempuan suka disapa oleh lelaki.

 

Suka kalau menjadi bahan siulan lelaki. Terasa diri paling cantik dan ketika itu apa saja produk kecantikan kalau disuruh cuba pasti segera dicari walaupun terpaksa ikat perut simpan duit belanja sekolah.  Bagi remaja lelaki pula, cabar-mencabar untuk memikat gadis sunti menjadi satu hobi. Seolah-olah hilang kejantanan jika gagal memikat. Itulah lumrah kehidupan remaja jika tidak ada perasaan malu.

 

Sebagai ibu bapa, selalulah ingatkan mereka agar mempunyai sifat malu dan sentiasa rasa diawasi oleh Allah s.w.t. Di sinilah unsur-unsur didikan iman perlu selalu diterapkan supaya mereka tahu matlamat hidup sebenar bukanlah untuk berfoya-foya.