~Remaja @ Mutiara~

Jom Tanya Pakar.

Prinsip utama untuk kelihatan bergaya ketika berpakaian adalah keyakinan diri

 

Soalan

Saya berusia 19 tahun, ketinggian 162 sentimeter dan berkulit sawo matang. Saya mempunyai masalah mencari gaun malam sesuai kerana saya tidak suka memakai pakaian mendedahkan tubuh dan ketat memandangkan bentuk badan kurus dan pipih. Jadi apakah fesyen gaun malam yang sesuai untuk saya?

 

Pavithram, melalui emel.

 

Jawapan

Anda masih remaja. Jangan sesekali sekat pemikiran anda dalam berfesyen hanya kerana bentuk badan yang kurus dan pipih. Cuba lihat model antarabangsa yang cantik memperagakan pakaian di pentas peragaan walaupun punyai badan yang sangat kurus.

 

Prinsip utama untuk kelihatan bergaya ketika berpakaian adalah keyakinan diri yang dibawa bersama dengan pakaian diperaga. Pada saya, itu paling penting.

 

Untuk pengetahuan, fesyen remaja sangat meluas dan anda hanya perlu mencuba apa juga gaya sementara masih muda. Bagi mereka yang berbadan kecil, cuba gaya ‘modern dancer’ dan ‘roller girl’ yang menekankan potongan warna serta perincian pada baju.

 

 

NORAZURA Mazaruddin dengan salah satu dari rekaannya.

 

Tidak semestinya ia berkonsepkan ‘modern dancer’ tapi jika anda tidak yakin, cuba sarungkan skirt mini atau gaun singkat, penampilan anda pasti tampak menarik.

 

Ubah gaya malam anda dengan gaun malam paras lutut atau skirt beropol yang dipadankan bersama baju sendat yang benar-benar mengikut bentuk badan, berkeruk kemas dan tidak langsung menyembunyikan kelangsingan anda. Baju yang terlalu longgar kadangkala boleh mencacatkan penampilan kerana ia bukan saja boleh membuatkan anda kelihatan selekeh malah membuatkan anda kelihatan matang sebelum waktu.

 

Anda juga boleh mencuba ‘puffy sleeve’ di bahagian lengan bagi memberikan ilusi tubuh lebih berisi. Ia juga nampak nampak cantik, comel dan menonjolkan kewanitaan anda.

 

Pilihan warna pula biarlah dari rona terang bagi menaikkan seri ketika berpakaian sesuai dengan usia muda anda. Bagaimanapun, jangan saratkan penampilan dengan aksesori yang terlalu berlebih-lebihan. Berpeganglah pada konsep ‘less is more’.

 

Tip Azura:

Untuk mereka yang mempunyai bentuk badan yang kurus dan pipih tapi ingin kelihatan sedikit berisi, elakkan memilih pakaian dari fabrik sutera satin kerana ia akan mengikut bentuk badan dan menampakkan anda lebih kurus.

 

PROFIL: Norazura Mazaruddin

 

Usia : 24 tahun

 

Pencapaian :

# Tempat pertama Anugerah Jarum Berlian 2003,

# Pakaian Tercantik Permaidani Merah Murai.com 2007 (Raja Farah),

# Pakaian Tercantik Anugerah Juara Lagu 2008 (Nora Danish),

# Pakaian Tercantik

# Pereka Terbaik Anugerah Bintang Popular 2008 (Nora Danish)

 

 

Petikan daripada sumber :

Berita Harian